Zikir Yang Diajar Rasulullah ﷺ Ini Lebih Baik Dari Memiliki Seorang Khadam (Pembantu)

Daripada Saidina ‘Ali Radhiyallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘Anha ketika Saidatina Fatimah meminta agar Baginda ﷺ memberi kepadanya seorang khadam (pembantu) untuk membantunya kerana dia terlalu letih dengan kerja-kerja yang dilakukan di rumahnya.

Sabda Baginda ﷺ :

“Mahukah aku tunjukkan kepada kamu berdua sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta? Apabila kamu berdua berada di tempat tidur, 1) bertasbihlah (ucapkan سبحان الله) sebanyak 33 kali, 2) bertahmidlah (ucapkan الحمد لله) sebanyak 33 kali, 3) bertakbirlah (ucapkan الله أكبر) sebanyak 34 kali. Bacaan zikir tadi adalah lebih baik daripada khadam yang kamu minta.”(Bukhari Muslim).

Di dalam riwayat al-Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya, ada dinyatakan bahawa Saidina ‘Ali ada menyebut:

“Aku tidak pernah meninggalkan bacaan tersebut semenjak aku mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”

Ibnu al-Kawwa’ bertanya kepadanya:

“Wahai Ali, apakah pada malam Perang Siffin pun kamu tidak meninggalkan bacaan zikir ini?”

Saidina ‘Ali menjawab:

“Ya, aku tidak pernah meninggalkan bacaan zikir ini sekalipun pada malam Perang Siffin.”

Asy-Syeikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani rahimahullah dalam syarah kitab Hisnul Muslim menukilkan bahawa al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya الوابل الصيب bahawa gurunya pernah berkata :

“Sesiapa yang menjaga amalan ini, nescaya dia tidak akan rasa lemah dan letih disebabkan kerja-kerja yang telah dilakukan.”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, bacalah zikir yang mudah ini setiap kali sebelum tidur dan jadikanlah sebagai rutin harian serta ajarkanlah kepada isteri dan anak-anak. Yakinlah sungguh-sungguh dengan setiap tutur kata Rasulullah ﷺ.

BACA, AMAL DAN SEBARKAN.

Semoga tersebar Sunnah Rasulullah ﷺ dan semoga bermanfaat untuk semua. “Ya Allah, taufiqkanlah kami dan zuriat kami untuk beramal dengan zikir-zikir Rasulullah ﷺ khususnya ketika sunnah Baginda dilupakan oleh ummatnya.”

الراجي إلى عفو ربه،
أبو عمار مدني،
غفر الله له ولوالديه ولإخوانه ولجميع المسلمين.

Semenyih, Selangor.
Selasa, 24 Jamadil Akhir 1441H – 18 Februari 2020.

Salehuddin bin Abu Samah,
https://www.facebook.com/salehuddin.binabusamah

Kredit Gambar : Yufid.TV

Be the first to comment on "Zikir Yang Diajar Rasulullah ﷺ Ini Lebih Baik Dari Memiliki Seorang Khadam (Pembantu)"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*